Tertuduh dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini selepas mengaku salah memiliki pisau tanpa kebenaran di tempat awam, bulan lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


PENGANGGUR dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini selepas mengaku memiliki pisau di tempat awam tanpa kebenaran.

Pengakuan bersalah dibuat tertuduh Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, 30, di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 1 November lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki senjata bahaya iaitu pisau bersarung kayu sepanjang 32 sentimeter tanpa maksud sah di hadapan kedai burger Jalan Melor-Ketereh pada 10.30 malam, 1 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana perlu menyara keluarga serta menjaga bapa yang menghidap penyakit jantung dan angin ahmar.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius.

"Perbuatan membawa senjata di tempat awam boleh mengakibatkan kesalahan lebih serius.

"Oleh itu, mohon hukuman setimpal untuk beri pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 3:43 PM