PENGAWAL keselamatan ditemui mati dibunuh di pondok pengawal sebuah loji kumbahan di Puchong Permai, semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Subang Jaya: Empat lelaki yang tiada wang untuk membeli minuman keras bukan saja menyamun malah menetak hingga mati seorang warga emas berusia 69 tahun di pondok pengawal sebuah loji kumbahan di Puchong Permai di sini, semalam.

Pada kejadian jam 12.30 tengah malam, Muhammad Gul, 69, yang juga warga Pakistan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah selepas ditetak di kepala, tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, mangsa mungkin bergelut dengan suspek sebelum ditetak.

“Susulan itu, kami menahan tiga suspek berusia 16 hingga 20 tahun jam 4 pagi semalam di lokasi berhampiran.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku membuang parang dan baju yang digunakan di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut beliau, suspek keempat pula ditahan di sekitar Melaka jam 2 petang semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 5:46 AM