Pistol tiruan dan barangan lain yang dirampas polis. FOTO Faiz Anuar
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


PEMBEKAL aksesori kenderaan berusia 37 tahun ditahan polis kerana memiliki pistol tiruan bersama puluhan peluru kapur, gari dan kad nama polis palsu di kediamannya di Seksyen 13, Shah Alam, awal pagi ini.

Difahamkan, lelaki itu menyimpannya sebagai hobi dan koleksi peribadi termasuk kad kuasa Polis Antarabangsa (Interpol) berpangkat Inspektor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) menyerbu rumah sewa suspek pada 4 pagi.

"Serbuan di tingkat 14 kondominium itu membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis Walther bersama 50 peluru 'blank' (kapur) bersaiz 9 milimeter (mm) dan satu sarung pistol.

"Hasil pemeriksaan turut menemui sebanyak 90 kad nama berlogo polis dan empat kad kuasa Interpol selain 10 butang baju seragam polis, sepasang gari serta anak kuncinya," katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabatnya, petang tadi.

Nek Zaidi berkata, siasatan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau namun hasil ujian air kencing didapati positif syabu.

"Suspek bagaimanapun mengaku tidak melakukan sebarang jenayah dan menyimpan senjata tiruan bersama peralatan polis itu sebagai hobi atau koleksi semata-mata.

"Namun, kita masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 89 Akta Polis," katanya memaklumkan suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang buruh warga Myanmar dibunuh dengan kesan tikaman di sebuah kilang lilin di Jalan Sungai Rasau, Batu Tiga.

"Lelaki berusia 26 tahun itu ditemui berlumuran darah dengan kesan tikaman di leher sehingga menembusi paru-parunya di sekitar kilang berkenaan.

"Polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada pemilik premis itu pada 12.42 tengah malam tadi. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 6:40 PM