SEBAHAGIAN penagih yang ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu di sekitar kawasan Kuala Besut, Besut. FOTO ihsan Polis
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI yang mempunyai 13 rekod lampau berkaitan dadah tidak pernah serik apabila sekali lagi dicekup dalam Ops Tapis Bersepadu di Kuala Besut, Besut.

Daripada 13 rekod itu, lelaki berusia 59 tahun didapati mempunyai tujuh rekod berkaitan penyalahgunaan dadah manakala selebihnya kesalahan memiliki dadah kerana dipercayai menjadi pengedar secara kecil-kecilan di kawasan berkenaan.

Selain menahan lelaki terbabit, polis turut menahan 92 lagi penagih dan pengedar termasuk lima warga Thailand berusia antara 17 hingga 59 tahun dalam operasi yang dijalankan selama enam hari sehingga kelmarin membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, operasi dijalankan hasil maklumat dan intipan dijalankan mengenai aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran di kawasan Kuala Besut.

"Kita turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu 11.14 gram heroin, 4.5 liter air ketum, 210 biji pil kuda, sebiji erimin 5 dan 0.39 liter kodien sepanjang operasi berkenaan.

"Selain menahan penagih dan pengedar, kita turut menahan 14 suspek yang mempunyai waran tangkap kerana pelbagai kesalahan," katanya.

Mohd Zamri berkata, pihaknya turut menahan lelaki berusia 40 tahun kerana memandu kereta curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam serbuan di bengkel kereta di Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Rabu lalu.

Katanya, suspek juga bertindak agresif apabila melanggar kereta pasukan yang ada di belakangnya ketika anggota mahu menahannya.

"Pemeriksaan lanjut menemui parang berhulu besi, sebilah pisau berhulu kepala binatang dan sabit berhulu besi panjang di dalam kereta berkenaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Kuala Terengganu.

"Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 8:12 PM