Jaamad dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


BEKAS tentera dipenjara enam bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku salah menjerut leher isteri pertamanya menggunakan paip getah.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Jaamad Janor, 56, dari Kuala Nerus mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menjerut leher Rohani Ngah, 54, menggunakan paip getah hingga menyebabkan kecederaan ke atas mangsa di sebuah rumah di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Nerus, jam 11.45 malam pada 17 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang bekas tentera naik hantu apabila tergamak menjerut leher mangsa menggunakan paip getah dalam kejadian di Seberang Takir, Kuala Nerus selepas cemburu melihat gambar isterinya dengan lelaki lain.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut mengugut akan membakar rumah mereka sekiranya dia melihat mangsa bersama lelaki lain.

Difahamkan, suspek mempunyai tiga isteri dan mangsa adalah isteri pertama selain dikatakan sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah wanita terbabit sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 6:07 PM