LOKASI kemalangan maut di Kilometer 2, Jalan Parit Botak.
Mohamad Fahd Rahmat dan Essa Abu Yamin
am@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Adik sempat memandikan bapa yang terlantar akibat strok sebelum dia keluar bersama rakannya dan itu kali terakhir kami sekeluarga melihatnya sebelum dia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya,” kata Normaida Sabari, 26.

Normaida adalah kakak kepada Muhammad Shah Aidil, 16, seorang daripada dua remaja yang maut dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Parit Botak di sini, jam 7.30 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa menunggang motosikal bersendirian ditemani rakannya, Raazi Mohamad, 20, yang menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan dari Parit Botak ke Parit Raja.

Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi, Raazi dikatakan memasuki laluan bertentangan menyebabkan pemandu kereta Proton Iswara tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kedua-dua motosikal remaja berkenaan mengakibatkan mereka maut di tempat kejadian.

Normaida berkata, arwah seorang penyayang dan bertanggungjawab kepada keluarga selain membantu ibunya, Sarmah Sabran, 56, menguruskan bapa mereka Sabari Abdul Jalal, 64, setiap hari.

“Arwah adik yang dipanggil Aidil dalam kalangan ahli keluarga juga seorang periang dan pada hari kejadian, dia sempat bermanja-manja dengan anak saya serta anak buah lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila motosikal ditunggangi Raazi masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 8:34 AM