KEJAYAAN cemerlang diukir pelajar Malaysia di luar negara.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya : Pencapaian murid di persada antarabangsa dilihat membanggakan apabila setanding dengan murid di negara lain berdasarkan pembabitan mereka menerusi program kejohanan dan pertandingan merangkumi pelbagai bidang.

Hasil positif itu selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan mengamalkan konsep pengantarabangsaan dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum dengan menyediakan platform bagi murid memperoleh pendedahan di peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Aminudin Adam berkata, pelbagai kejayaan dicapai murid sama ada dari sekolah harian, sekolah sukan, sekolah berasrama penuh, sekolah agama, sekolah seni bahkan sekolah pendidikan khas di peringkat antarabangsa, sekali gus ia menaikkan nama negara.

“Pencapaian mereka ini adalah membanggakan dan ia menunjukkan murid di negara ini setanding dengan murid di negara lain.

“Kecemerlangan kokurikulum boleh dilihat melalui tiga aspek iaitu berbentuk pertandingan, berbentuk penyertaan disertai melalui surat jemputan serta yang berbentuk peragaan iaitu persembahan secara massa disertai murid sekolah rendah dan menengah dipilih Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.


KEJAYAAN cemerlang diukir pelajar Malaysia di luar negara.

Pada masa sama, beliau berkata, pencapaian murid di peringkat antarabangsa bukan saja diperoleh menerusi pembiayaan oleh Kementerian Pendidikan, malah ada dalam kalangan mereka melaksanakan pembiayaan sendiri.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada pihak dari bahagian dan agensi kerajaan lain serta swasta yang turut sama membiayai mereka kerana sokongan semua pihak menyebabkan pasukan ini berjaya di peringkat antarabangsa.

“Sedia maklum, kos untuk memasuki sesuatu pertandingan di peringkat antarabangsa bukan sedikit dan usaha bersepadu bersama bahagian dan agensi kerajaan serta swasta harus dilaksanakan,” katanya.

Malah, beliau turut memberikan contoh, kejayaan murid pada tahun ini menerusi satu emas, dua perak dan empat anugerah kecemerlangan pada penganjuran World Robot Olympiad 2017 di Costa Rica, Amerika Tengah.

“Pasukan negara juga menyertai pertandingan 4x4 In Schools World Finals di Abu Dhabi dan menduduki podium dengan tempat kedua keseluruhan pertandingan mengatasi 25 pasukan yang bertanding, sekali gus membawa pulang dua anugerah.

“Bukan itu saja, pasukan negara juga memperoleh kecemerlangan ketika pertandingan F1 In Schools World Finals yang mana Malaysia menjadi tuan rumah bagi acara itu,” katanya.

Aminudin berkata, kejayaan lain juga boleh dilihat menerusi bidang kesenian oleh murid sekolah seni berdasarkan pembabitan mereka dalam pelbagai festival dan pertandingan seni di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, Aminudin berkata, dalam usaha melahirkan murid yang seimbang, Kementerian Pendidikan tidak hanya menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata, malah memastikan mereka turut menyertai kegiatan kokurikulum menerusi sukan, kelab dan persatuan serta badan beruniform.

Katanya, ia seiring dengan Anjakan Tiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu melahirkan rakyat yang menghayati nilai serta menekankan pembangunan murid secara holistik dengan mengukuhkan keperluan penyertaan mereka dalam aktiviti sukan dan kokurikulum.

Beliau berkata, kegiatan kokurikulum adalah bagi menyokong dan melengkapkan pengajaran dan pembelajaran murid di dalam bilik darjah.


KEJAYAAN cemerlang diukir pelajar Malaysia di luar negara.

“Justeru, murid sentiasa diberi ruang untuk memperkukuhkan kefahaman pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas melalui aktiviti atau program luar bilik darjah sama ada secara pendidikan formal atau tidak formal berunsurkan inkuiri, hands on (secara langsung dengan pengalaman), edutainment (pendidikan dan hiburan) dan fun learning (aktiviti didik hibur).

“Selaras yang termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, usaha berterusan ini ke arah mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu selain mewujudkan modal insan seimbang dan serba boleh malah ia diperkukuhkan lagi di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya.

Pada masa sama, Aminudin berkata, Kementerian Pendidikan mengalu-alukan perkongsian maklumat dan kemahiran daripada agensi kerajaan dan swasta seperti hasrat Anjakan Kesembilan PPPM 2013-2025.

Katanya, ia bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan murid seperti hasrat dalam PPPM 2013-2025 melalui Anjakan Satu iaitu menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

“Kementerian Pendidikan turut menghargai peranan PIBG dan alumni yang turut membantu membiayai program disertai murid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 8:12 AM