Suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Semarak, Tawau dan turut dirampas beberapa barangan hasil curi. FOTO ihsan IPD Tawau
Nasrawati Syarifuddin
hmkk@hmetro.com.my


SEORANG lelaki warga asing ditahan polis di sebuah rumah di Taman Semarak, Tawau, kira-kira jam 9 malam semalam selepas terbabit dalam satu kes samun.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, suspek berusia 32 tahun ditahan enam jam selepas menyamun seorang wanita di Taman Ria 6.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 21 tahun disamun ketika sedang menunggu bas di hadapan sebuah rumah.

"Ketika kejadian, suspek menaiki motosikal dan menghampiri mangsa sebelum berpura-pura bertanya sesuatu kepada mangsa.

"Mangsa tidak menjawab soalan suspek sebelum bertindak seolah-olah mengambil sesuatu di belakang badannya bagi menakutkan mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadil berkata, bimbang suspek bertindak agresif, mangsa terpaksa menyerahkan beg miliknya sebelum suspek beredar.

"Laporan polis dibuat dan suspek berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

"Hasil pemeriksaan berjaya menemui telefon bimbit, cincin emas dan beg bimbit dipercayai hasil jenayah samun manakala wang tunai RM90 milik mangsa sudah digunakan suspek dan dokumen milik mangsa dibakar,"katanya.

Fadil berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kes penyalahgunaan dadah pada 2014 dan 2016.

"Selain itu, ujian air kencing suspek juga menunjukkan positif dadah dan dia kini ditahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 12:11 PM