Pil ekstasi yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque

 

ekhwan@hmetro.com.my

 

LELAKI ditahan polis bersama bersama 900 pil ekstasi bernilai RM54,000 di parkir kereta di Jalan Song, Kuching, semalam.

Serbuan pada 8.15 malam itu dilakukan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua JSJN Sarawak Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, suspek berusia 47 tahun itu bekerja sebagai pemandu lori dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum polis memperkenalkan diri.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di dalam Proton Waja digunakan suspek menemui 900 pil ekstasi yang dibungkus dalam plastik lutsinar.

Suspek bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan pil berkenaan adalah miliknya.

"Siasatan lanjut mendapati suspek aktif menjual pil berkenaan di pusat hiburan sekitar Kuching sejak beberapa bulan lalu," katanya di Kuching, hari ini.

Sahar berkata, pil berkenaan dijual antara RM60 hingga RM80 sebiji dan menjadi pilihan pengunjung kelab malam.

Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan polis masih mengenal pasti rangkaian pengedaran pil khayal di daerah ini.

Tambahnya, suspek yang positif methapetamine itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 10:25 AM