Laporan Harian Metro sebelum ini
Rudy Syareme Sheriffudin

 

am@hmetro.com.my

POLIS mewujudkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan berhubung kes pemindahan transaksi yang diragui terhadap hak milik tanah Felda Investment Corporations Sdn Bhd (FIC).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, sehingga kini pihaknya sedang mengumpulkan bukti dan keterangan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil selepas satu laporan polis dibuat oleh pengurusan Felda.

Beliau berkata, tiada sebarang keterangan diambil berikutan ia masih lagi diperingkat awal dan beberapa saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Katanya,  polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad untuk membantu siasatan.

"Kita akan menunggu arahan selanjutnya sama ada akan memanggil beliau (Isa) untuk diambil keterangan atau sebaliknya.

"Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 421 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu dan pemalsuan dokumen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perlepasan Program Kayuhan Basikal Solidariti PDRM 2017 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Chee Lye.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 2:02 AM