SHAHRIZAN (kanan) menunjukkan tong minyak yang meletup selepas dipotong. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


LELAKI hampir putus dua jari kaki kiri dan melecur di muka apabila tong minyak yang dipotong abangnya untuk dijadikan tempat membakar, meletup dalam kejadian di Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, Muhammad Khairul Hafiz Yusof, 23, yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Abang mangsa, Shahrizan, 37, berkata, dia yang berhasrat mahu menjalankan perniagaan makanan bakar, memotong tong berkenaan di hadapan rumah menggunakan alat pemotong sebelum diambil alih adiknya.

"Ketika baru mula memotong, adik yang pulang ke rumah selepas membawa anak saudara bersiar-siar di kawasan kampung, meminta untuk memotong tong berkenaan.

"Bagaimanapun, tong itu tiba-tiba meletup sebaik sahaja dia meletakkan alat pemotong besi pada tong berkenaan menyebabkan baju dipakainya terbakar manakala mukanya melecur sementara dua jari kaki kirinya hampir putus dipercayai terkena mata pemotong yang tercampak daripada tangannya.

"Saya yang duduk di sebelah kiri tong berkenaan pula tercampak hampir dua meter," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu.

Menurut Shahrizan, kejadian itu menyebabkan hasratnya untuk memulakan perniagaan makanan bakar di tepi jalan di kampung berkenaan ditangguhkan.

"Saya bercadang mahu berniaga pada hari ini tetapi terpaksa ditangguh kerana kejadian menimpa adik," katanya yang mahu menjual jagung rebus di pasar malam di sekitar Manir dan Marang.

"Saya akui saya tiada pengalaman dan mungkin ia menjadi punca tong minyak itu meletup," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Munah Ismail, 62, berkata, dia yang berada di dapur terkejut apabila terdengar bunyi letupan kuat sebelum segera keluar untuk memeriksa kejadian.

"Saya sangka tong gas meletup dan terkejut apabila melihat keadaan anak yang cedera di muka, kaki dan badan.

"Letupan itu sangat kuat. Malah, saya rasa rumah juga bergegar sehingga menyebabkan cermin nako rumah pecah," katanya.

Beberapa penduduk yang ditemui di kawasan berkenaan mengakui letupan itu didengari dengan jelas sehingga jarak lebih dua kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 9:11 PM