KERETA dan beberapa barang disyaki dicuri yang dirampas polis.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Yan: Diculik, kurung dan rogol. Itu nasib malang menimpa seorang remaja perempuan yang bagaikan hidup dalam neraka sejak seminggu lalu selepas menjadi mangsa enam lelaki.

Bagaimanapun, penderitaan mangsa berusia 17 tahun berakhir apabila pasukan khas anggota Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyerbu rumah di Kuala Sungai Yan, Yan, pada jam 6 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian culik dan kurungan salah itu Isnin lalu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, pasukan khas D9 mengesan suspek sebelum menyerbu kediaman berkenaan semalam dan menahan enam lelaki termasuk suspek utama berusia 20 hingga 50-an.

“Mangsa diselamatkan selepas dikurung di stor di rumah itu selama seminggu, malah hasil temu bual remaja terbabit memberitahu dirogol suspek utama berusia 50-an beberapa kali.

“Suspek utama memiliki 33 rekod jenayah lampau dan orang dikehendaki bagi kes samun, kurungan salah, dadah, memiliki senjata berbahaya dan ugutan jenayah,” katanya semalam.

Beliau berkata, polis merampas barang disyaki hasil samun dan curi iaitu dua motosikal, dua kereta Proton Perdana dan BMW, topi keledar pelbagai jenis, telefon bimbit, peralatan televisyen, monitor dan beberapa unit pembesar suara.

“Suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 342, Kanun Keseksaan dan Seksyen 376, akta sama bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 6:23 AM