Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

 

PERUNDING kewangan sebuah syarikat kerugian RM76,000 selepas ditipu lelaki yang menjual mata wang virtual Bitcoin di sebuah laman web.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa berusia 32 tahun dihubungi seorang lelaki daripada sebuah laman web menawarkan Bitcoin untuk dijual.

Sumber polis berkata, suspek menawarkan 0.1 Bitcoin pada harga RM76,000.

 "Mangsa yang berminat untuk membeli Bitcoin berkenaan kemudian berhubung dengan suspek berkaitan urusan jual beli Bitcoin.

 "Mangsa kemudian bersetuju untuk membeli Bitcoin berkenaan sebelum membuat transaksi wang ke sebuah akaun bank tempatan," katanya.

 Bagaimanapun suspek lelaki itu gagal dihubungi selepas transaksi berjaya dilakukan.

 "Mangsa juga membuat pemeriksaan ke atas emel yang digunakan suspek dan mendapati terdapat mangsa lain turut ditipu.

 "Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Damansara di sini, pada hari sama untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sedang memburu suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 8:54 PM