Tukang kebun, Ahmad Osman, 63, dari Tanjung Tokong, membantu anaknya, Zul Aiman, 10, mencari saiz baju sekolah yang dibeli menerusi tajaan sebanyak RM100 seorang daripada Pusat Kebajikan Baitulfiqh di pasar raya Tesco Sri Tanjung Pinang. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


SERAMAI 30 murid dan pelajar di Tanjung Tokong ceria selepas ditaja Pusat Kebajikan Baitulfiqh untuk membeli peralatan dan kelengkapan persekolahan di Tesco Sri Tanjung Pinang, Georgetown, hari ini.

Sumbangan sebanyak RM100 seorang itu membolehkan murid dan pelajar membeli pakaian sekolah, kasut, beg dan alat tulis.

Bagi ibu tunggal, Huzaini Hussain, 29, bantuan berkenaan amat membantu bagi membeli kelengkapan persekolahan dua anaknya, Mohd Amir Ashraf, 12, dan Norsyazwin, 10.

Katanya, ia adalah bantuan pertama kali diterima dan bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan masalah dihadapi.

Selepas berpisah dengan suami 10 tahun lalu, dia melakukan kerja sambilan sebagai jurujual di pasar raya berkenaan selain mengambil upah mencucuk sate dengan pendapatan keseluruhan sebanyak RM700 sebulan.

"Bila persekolahan mula dibuka, sudah tentu memerlukan perbelanjaan lebih bagi membeli kelengkapan mereka selain yuran sekolah pada penggal baru.

"Sebelum ini saya sudah membeli alat tulis kepada mereka dan dengan sumbangan ini, dapatlah saya membeli kasut, baju dan beg sekolah pula," katanya.

Sementara itu, Pengasas Pusat Kebajikan Baitulfiqh, Hasliza Abdul Halim berkata, program di bawah kempen 'We Care' itu sudah diadakan di Tanjung Tokong sejak lima tahun lalu.

Beliau berkata, ibu bapa murid dan pelajar berkenaan terdiri daripada golongan berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan.

"Kami giat menjalankan aktiviti amal di seluruh Malaysia sejak 12 tahun lalu dan diharap ia dapat memberi sedikit keceriaan kepada penerima selain dapat membantu kewangan ibu bapa," katanya.

Kempen 'We Care' yang dijalankan turut memberi sumbangan kepada pesakit kronik, golongan miskin dan asnaf, mangsa bencana alam dan lain-lain lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 6:29 PM
Skip this ad x