ANUAR Mohd Zaini, 39, menunjukkan gambar anak perempuannya, Varisha Nur Hidayah, empat tahun yang dilarikan isterinya ke Medan, Indonesia. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


“Tolonglah saya, kembalikan Varisha Nur Hidayah," pinta bapa yang terlalu merindukan anak perempuannya berusia empat tahun selepas mendakwa zuriatnya dilarikan isteri sejak Julai lalu.

Anuar Mohd Zaini, 39, berkata, isterinya Diana Gimim, 33, warga Indonesia, membawa bersama Varisha lari dari rumah tanpa pengetahuannya ke Medan, Indonesia sewaktu dia bekerja di kilang di Prai.

Menurutnya, dia bagai tidak percaya apabila isteri yang dinikahinya sejak 5 September 2012 nekad melarikan diri dari rumah selepas berlaku perselisihan faham antara mereka berdua.

"Sudah menjadi lumrah dalam rumah tangga apabila suami isteri bertengkar dan saya cuba menyelesaikan dengan baik, tetapi sebaliknya perkara di luar jangkaan berlaku apabila isteri sanggup meninggalkan saya seorang diri di Malaysia tanpa sebarang khabar berita.

"Saya mendapat tahu isteri dan anak perempuan pulang ke Medan dan sebagai suami dan bapa, saya pergi ke Medan untuk mencari mereka di rumah keluarga mentua, tetapi gagal.

"Perbincangan cara baik cuba dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian tetapi tidak berjaya sebaliknya saya dihalau balik ke Malaysia dan sehingga ke hari ini tidak tahu di mana isteri dan anak perempuan saya berada," katanya.

Anuar berkata, dia cuba menghubungi isteri, tetapi nombor telefon sudah ditukar menyebabkan dia rasa bimbang akan keselamatan anak perempuan selain segala dokumen pengenalan diri termasuk sijil lahir dan kad pengenalan Mykid masih ada bersamanya.

Beliau berkata, hanya berbekalkan pasport antarabangsa, nasib anak perempuannya mungkin dalam kesusahan selepas tinggal lebih masa di Indonesia dan tidak mustahil akan dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa di sana.

"Saya bimbang tidak akan dapat bertemu lagi dengan isteri dan anak perempuan sampai bila-bila, malah saya merasakan lebih berhak ke atas anak dan cuba memohon bantuan daripada pihak kerajaan dan Kedutaan Indonesia.

"Saya akui bukan dalam golongan orang berpendapatan tinggi, namun dengan rasa rendah diri merayu dan memohon jasa baik semua pihak dapat membantu menyelesaikan masalah saya ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 5:26 PM