Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


TINDAKAN suri rumah mencuri beg silang mengandungi barangan berharga seperti telefon dan wang tunai milik seorang guru di dalam surau terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara satu tahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Nor Amira Abd Rahman, 33, dari Setiu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri beg silang mengandungi telefon bimbit Oppo F1s, kad pengenalan, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai RM200 milik Fasiha Raihan Abdul Ghafar, 20, di dalam surau sebuah pasar raya di Chabang Tiga, di sini, 1.30 petang pada 9 Disember lalu.


NOR Amira dijatuhi hukuman penjara satu tahun di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana mencuri beg silang milik seorang guru. FOTO Syafiq Ambak

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang selesai menunaikan solat di surau berkenaan terkejut apabila mendapati begnya hilang sebelum cuba mencari begnya namun gagal dan mengesyaki begnya dicuri.

Mangsa kemudian menghubungi telefon bimbitnya sebelum panggilannya dijawab seorang wanita (tertuduh) lalu memujuk tertuduh untuk memulangkan semula begnya namun tertuduh enggan.

Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Chabang Tiga, tertuduh ditahan di rumahnya di Setiu, 11.30 pagi pada 14 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 4:43 PM