Muhammad Syafiq bersama lukisan bertajuk Diri Ini Berdiri Teguh Menggenggam Impian yang dipamerkan pada Majlis Perasmian Pameran Terbuka Galeri Shah Alam, semalam.
HM Digital

Shah Alam: Mengabadikan cebisan kisah hidup ke dalam lukisan melayakkan seorang pelukis muda menerima Anugerah Insentif pada Pameran Terbuka Galeri Shah Alam.

Muhammad Syafiq Ahmad, 26, antara lima penerima insentif itu dengan menghasilkan karya bertajuk Diri Ini Berdiri Teguh Menggenggam Impian iaitu lukisan figura lelaki dengan menggunakan pastel minyak.

Menurutnya, dia menghasilkan karya itu selama dua hari selepas bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung pada Jun lalu dan amat meminati bidang seni.

“Walaupun memiliki Ijazah Seni Lukis di Universiti Teknologi MARA (UiTM), saya turut mengambil Diploma Ilustrasi di universiti swasta namun berhenti berikutan kesihatan ayah dan kos pengajian tinggi.

“Situasi itu dijadikan sebagai pencetus idea dan pendorong menghasilkan karya selain menunjukkan sisi keperibadian sebagai artis,” katanya pada majlis perasmian pameran itu di sini, petang kelmarin.

Majlis dirasmikan veteran UMNO Tan Sri Sanusi Junid itu turut dihadiri Ahli Lembaga Yayasan Seni Selangor Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob.

Muhammad Syafiq bersama penerima lain menerima hadiah RM2,500 dan sijil.

Kata anak sulung daripada lima beradik itu, dia bersyukur karyanya menjadi pilihan juri walaupun pertama kali menyertai pameran berkenaan.

Lukisannya itu menunjukkan imej tangan yang menggenggam pensel seolah-olah figura lelaki bersiap sedia melakukan perkara penting.

Sebanyak 85 karya terdiri daripada cat akrilik, cat air, fotografi, arca, seni cetak, media campuran dan instalasi dipamerkan pada pameran berkenaan.

Objektif utama pameran itu bertujuan memberi ruang dan peluang kepada pelukis atau karyawan meluahkan ekspresi serta menonjolkan bakat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 4:57 AM