Lapan suspek kes tetak dan samun dibawa ke Mahkamah Sungai Petani untuk direman pagi tadi. FOTO Omar Osman
Omar Osman
am@hmetro.com.my


TIDAK berpuas hati dan dendam menyebabkan seorang lelaki berusia 24 tahun ditetak dan disamun sekumpulan lelaki di kawasan berhampiran kilang di Bukit Selambau, Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, mangsa menunggang motosikal ditahan seramai 10 orang sebelum diserang dan ditetak dengan parang serta dipukul dengan kayu sebelum disamun di lokasi kejadian.

Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera di pipi, tangan, dan belakang badan akibat ditetak pulang ke rumah dalam keadaan berdarah meminta bantuan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) oleh bapanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa bersendirian sebelum diserang suspek tidak dikenalinya.

Menurutnya, selepas memukul dan menetak mangsa, suspek kemudian merampas dompetnya sebelum beredar.

"Mangsa yang cedera pulang sendiri ke rumah dalam keadaan berlumuran darah sebelum dibawa bapanya ke HSAH untuk menerima rawatan.

"Sebaik menerima laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda mengesan suspek dan menahan 10 lelaki berusia 18 hingga 26 tahun di sekitar Bukit Selambau dan Sungai Petani bermula 2 pagi hingga 8 pagi ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Saifi berkata, susulan penahanan itu, pihaknya turut merampas enam motosikal, sebuah kereta, tiga bilah parang, sehelai jaket dan dua topi keledar.

"Lapan suspek direman seminggu bermula hari ini sementara dua lagi akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 4:55 PM