Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


PEMANDU lori yang terbabit kemalangan hingga mengakibatkan tiga sekeluarga maut di Kilometer 35 Jalan Bota Kanan-Teluk Intan dekat Kampung Teluk Memali, Bota, 13 Disember lalu didakwa di Mahkamah Majistret Parit di Parit hari ini kerana memandu secara melulu.

Syakhirul Nazif Amrah,25, didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6.30 pagi hingga mengakibatkan Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, dan Norhaslina Abdul Razak, 27, serta Nor Azira Ahmad Azzudin, 24, meninggal dunia.

Syakhirul Nazif yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Harbans Kaur bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim dihadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

Tertuduh merayu jaminan RM2,000 diberikan kerana hanya bekerja sebagai pemandu lori serta perlu menanggung ibu serta adiknya yang masih belajar.

Keadaan lori remuk akibat rempuhan belakang treler manakala Ridzuan (gambar kecil) maut di tempat kejadian. FOTO/ Mohd Hilmie Hussin

Mohd Fitri membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta lesennya diserah kepada mahkamah hingga kes selesai.

Kes ditetapkan bagi sebutan semula pada 17 Januari ini.

Harian Metro Khamis lalu melaporkan, tiga termasuk Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori.

Mangsa yang maut adalah pasangan suami isteri, Ahmad Nor Al-Zaidin dan Norhaslina serta adik Ahmad Nor Al-Zaidin, Nor Azira.

Ahmad Nor Al-Zaidin adalah pegawai khas kepada ADUN Sungai Manik yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga Dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Berita berkaitan

Tiga maut, kemalangan lori dengan kereta

[UPDATE] Mangsa pegawai khas kepada Exco Perak

'Ina cium saya berulang kali'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 11:33 AM