Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my

Cheras: Bermula dengan menghasilkan jambangan coklat untuk dihadiahkan kepada guru tadika anaknya tahun lalu, Hajijahtul Salasiah Abdullah, 30, kini mampu tersenyum selepas percubaannya menceburi perniagaan seni gubahan itu menambah rezekinya.

Menurut Hajijahtul Salasiah atau mesra disapa Lily, dia kini menyediakan lebih 30 jambangan coklat yang ditempah setiap bulan menerusi syarikatnya, Lily Florist.

Katanya, dia memang menggemari seni gubahan selain sering menerima tempahan untuk hantaran.

“Sebelum saya mula gubah jambangan coklat, saya sering gubah hantaran untuk saudara atau kawan.

“Pada Hari Guru tahun lalu, anak minta saya siapkan hadiah Hari Guru untuk guru tadikanya.

“Rasa bosan apabila beri bunga kerana akan layu membuatkan saya tukar idea itu dengan menghasilkan gubahan coklat,” kata ibu kepada dua anak itu.


HASIL kerja Lily kini bertukar menjadi satu perniagaan dengan bantuan suaminya.

Menurutnya, perniagaan yang dibantu suaminya, Wan Mohd Sallehuddin Wan Hassan, 35, semakin berkembang sejak awal tahun ini.

“Ketika kami ke koperasi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) terdengar ada pelanggan koperasi seperti buntu tak tahu hadiah apa yang ingin diberikan ketika melawat.

“Dari situ juga saya dan suami menghantar hasil gubahan jambangan coklat setiap minggu. Alhamdulillah, laris,” katanya.

Hajijahtul Salasiah yang bekerja sebagai pembantu pentadbiran berkata, pendapatan daripada kerja sambilannya itu amat menggalakkan.

“Tidak sangka kerja sambilan yang hanya hobi ini mendatangkan untung.

“Suami sentiasa membantu walaupun terpaksa berjaga sehingga 3 pagi,” katanya yang menjalankan perniagaan itu di Facebook (FB) dan Instagram.


ANTARA jambangan coklat yang dihasilkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 9:47 AM