Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu bagi mendapat perintah reman.
HM Digital

Kuala Terengganu: Cemburu melihat gambar isterinya dengan lelaki lain, bekas tentera tergamak menjerut leher mangsa menggunakan getah paip di Seberang Takir, Kuala Nerus, Ahad lalu.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berusia 56 tahun itu turut mengugut membakar rumah mereka sekiranya dia melihat mangsa berusia 54 tahun bersama lelaki lain.

Difahamkan, suspek mempunyai tiga isteri dan mangsa isteri pertama. Suspek juga sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah wanita terbabit sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian berlaku jam 11.45 malam ketika mangsa berada di rumah sebelum berlaku pertengkaran dengan suspek.

Beliau berkata, suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana cemburu selepas menerima gambar mangsa bersebelahan dengan lelaki lain di majlis kenduri kahwin.

Katanya, susulan laporan dibuat mangsa di Balai
Polis Gong Badak, suspek ditahan jam 4 petang, kelmarin, di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 6:27 AM