Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


RISIKAN rapi sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak sebulan lalu berjaya membongkar tiga stor penyimpanan mercun dan minuman keras dalam serbuan di Batu Arang, Rawang, Selangor pada Rabu lalu.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Azimah Abd Hamid berkata, dalam serbuan Ops Krismas itu, sejumlah 20.4 tan mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM825,714 membabitkan duti cukai sebanyak RM462,399 berjaya dirampas.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan mercun berkenaan diseludup masuk ke negara ini dari China dan ia akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada Februari ini.

"Pada serbuan sama, kami berjaya merampas 1,225 liter pelbagai jenis minuman keras bernilai RM17,133.60 membabitkan nilai duti cukai RM70,697.05," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam KLIA di Sepang, hari ini.

Katanya, rampasan itu dilaksanakan oleh pasukan Kastam Bahagian Penguatkuasaan KLIA selain turut dibantu Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA).


Anggota PPM menunjukkan sebahagian minuman keras yang dirampas di Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam. FOTO ihsan PPM

Azimah berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun yang juga penjaga stor bagi membantu siasatan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai bagi barangan larangan seperti mercun.

"Bagi barangan tidak dicukai pula, pihak terbabit boleh didenda tidak lebih daripada dua kali ganda nilai barang atau RM10,000 yang mana lebih besar," katanya.

Katanya, pihaknya turut meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barangan terlarang seperti dadah dan rokok kepada JKDM dengan menghubungi talian bebas tol 1800888855.

Azimah berkata, pihaknya memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan mereka akan diberi ganjaran dalam bentuk wang tunai bagi setiap maklumat disalurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 6:03 PM