Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my


POLIS Kelantan memandang serius tindakan penunggang motosikal sama ada remaja mahupun dewasa yang mengabaikan pemakaian topi keledar terutama di kawasan kampung dan luar bandar.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri menunjukkan 1,814 kes kemalangan membabitkan motosikal sejak Januari lalu dengan masing-masing berisiko cedera teruk disebabkan tidak memakai topi keledar.

Katanya, jumlah itu juga meningkat berbanding 1,724 kes dengan 278 kematian direkodkan pada tahun lalu berbanding 281 orang tahun ini.

"Kita memandang serius isu tidak memakai topi keledar kerana berbahaya, dan risiko kematian tinggi sekiranya aspek keselamatan ini diabaikan.

"Sebelum ini peringatan sudah diberikan kepada mereka kerana ia menyalahi undang-undang.

“Jangan budayakan amalan tidak pakai topi keledar. Topi keledar untuk keselamatan diri, bukannya apa-apa," katanya ditemui pada sekatan jalan raya (SJR) khas Penguatkuasaan Pemakaian Topi Keledar di Jalan Pasir Mas-Salor, Tunjong, Kota Bharu, hari ini.

HASANUDDIN (tengah) bertanya sesuatu kepada penunggang motosikal dalam operasi trafik di Jalan Pasir Mas-Salor, Tunjong, Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Hadir sama, Timbalannya Datuk Din Ahmad dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan Superintendan Markandan Subramaniam.

Hasanuddin berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 4,763 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai topi keledar, berbanding 5,204 saman tahun lalu.

"Oleh itu kita berharap penunggang dan pembonceng motosikal mementingkan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya, kerana malang tidak berbau.

"Bagi ibu bapa pula perlu menasihatkan anak-anak mereka terutama berusia belasan tahun supaya tidak menunggang motosikal tanpa lesen memandu atau tiada topi keledar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 4:11 PM