BAKHTIAR (hadapan dua dari kanan) dan Dr Abd Halim bertukar dokumen perjanjian pada Majlis Menandatangani MoU Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS dan AADK di Hotel Aliya, Klang.
HM Digital

Klang: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengendalikan pusat pemulihan penagih dadah menghidap HIV/AIDS.

Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS dan AADK itu akan menawarkan perkhidmatan pemulihan, rawatan serta perlindungan di Serendah, Hulu Selangor dan dijangka mula beroperasi Januari tahun depan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abd Halim Hussin berkata, MoU berkenaan adalah kerjasama yang pertama AADK bersama Majlis Islam Negeri.

“Kita berharap Majlis Agama Islam yang lain ikut jejak langkah seperti MAIS untuk melaksanakan usahasama demi memulihkan penagih dadah yang menghidap HIV/AIDS.

“Pihak kami menghargai usahasama dengan MAIS selaku rakan strategik dalam membantu penagih tegar sama ada anak Selangor mahupun mereka yang bermastautin di negeri ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis berkenaan, di sini, semalam.

MoU itu ditandatangani Abd Halim dan Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin disaksikan Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar serta Pengarah Bahagian Rawatan Perubatan dan Pemulihan AADK, Azmi Mustafa.

Abd Halim berkata, pusat pemulihan ini terletak di lokasi strategik berikutan berdekatan dengan Hospital Sungai Buloh.

“Kalau ada isu perubatan boleh dirujuk ke sana yang mempunyai kepakaran dalam bidang HIV/AIDS.

“Selain itu, kerjasama ini mengambil pendekatan melalui proses pemulihan berlandaskan al-Quran dan sunnah sebagai asas bagi memulihkan pesakit HIV/AIDS,” katanya.

Dalam pada itu, AADK berhasrat menambah empat lagi pusat pemulihan di negara ini termasuk 27 yang sudah sedia ada bagi menampung keperluan pesakit.

Sementara itu, Bakhtiar berkata, pusat pemulihan ini dibina di atas tanah MAIS di daerah Hulu Selangor dengan kos keseluruhan sebanyak RM9.1 juta menggunakan sumber Al-Riqab Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Bahagian Pemulihan Al-Riqab MAIS memperuntukkan bajet pengoperasian bagi 2018 merangkumi bayaran emolumen pengurusan pentadbiran dan pengurusan operasi 1.8 juta.

“Kerjasama MAIS dan AADK berkaitan pembangunan sosial masyarakat Islam menggunapakai konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) agar sentiasa berada dalam kerahmatan Allah.

“Asnaf Al-Riqab yang tersasar dari landasan Islam terutama yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah serta hidup dengan HIV/AIDS wajar diberi peluang mendekatkan diri dengan Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 6:47 AM