Sirajudin (kiri sekali) dan rakan-rakannya mencuba pakaian baharu yang diterimanya. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


TIGA ratus murid dan pelajar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Langkawi, menerima sumbangan bantuan persekolahan berupa pakaian, beg sekolah dan kasut untuk sesi persekolahan tahun 2018 hari ini.

Sumbangan bernilai RM120 setiap seorang sempena program 'Kembali Ke Sekolah' itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini.

Nor Saidi berkata, program memasuki edisi kelima itu bertujuan memberi galakan dan semangat kepada golongan kurang bernasib baik untuk belajar dengan lebih tekun.

"Ini tahun kelima program ini diadakan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM30,000 di DUN Kuah bagi membantu waris dari golongan berpendapatan rendah, miskin, warga emas, ibu tunggal dan asnaf.

"Malah, bagi melicinkan pelaksanaannya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta mengenal pasti keluarga yang memiliki anak bersekolah dari usia tujuh tahun hingga 16 tahun yang layak.

"Senarai nama dan maklumat keluarga berkenaan kemudian disalurkan kepada pejabat DUN untuk tujuan penyerahan sumbangan," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA, Mohd Asri Redha Abdul Rahman.

Sementara itu, penerima, Sirajudin Kader, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Negeri di sini, berkata, dia gembira menerima seragam sekolah yang baharu dan tidak sabar untuk ke sekolah.

"Kini ibu saya tidak perlu fikir untuk beli seragam sekolah kerana saya sudah mendapat baju, seluar dan kasut baharu, semua ini akan saya pakai pada hari pertama sekolah buka nanti," katanya.

Puteri Isya Mohd Izwandi, 8, dari SK Kedawang, turut teruja apabila menerima kelengkapan persekolahan baharu untuk sesi persekolahan 2018 yang bakal bermula tidak lama lagi.

"Saya sangat gembira apabila dapat sumbangan ini kerana sekurang-kurangnya persiapan pakaian seragam sekolah sudah pun ada, cuma peralatan tulis belum dibeli," katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Keterangan gambar:

1. Murid, Sirajudin Kader, 12, (tiga dari kanan) teruja menerima beg sekolah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan pada program 'Kembali Ke Sekolah' di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi, hari ini. STR/Hamzah Osman

2. Murid, Sirajudin Kader, 12, (kiri sekali) dan rakan-rakannya mencuba pakaian baharu dengan dibantu tetamu utama pada program 'Kembali Ke Sekolah' di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi, hari ini. STR/Hamzah Osman

#kw sumbangan sekolah, bantu golongan tidak bernasib baik

#loc 6.3499999999999996, 99.799999999999997

tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 6:48 PM