Anggota SPRM mengiringi Sukri untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas kesalahan meminta suapan pada 2015. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


BEKAS pembantu pegawai teknik Telekom Malaysia Bhd (TM) dipenjara enam bulan dan didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan meminta dan menerima suapan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Sukri Mat, 49 dari Pokok Sena mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Sukri didakwa meminta rasuah sebanyak RM20,000 daripada Badlishah Hamid, 47 menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbitnya sebagai upah menyediakan ringkasan sebut harga kerja pengalihan kabel jenis copper dan fiber optik serta kerja berkaitan di Jalan Alor Setar-Gunung Keriang untuk Telekom Malaysia bagi projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit, Pakej Dua.

Kesalahan berkenaan dilakukan sebagai dorongan untuk dirinya memperakukan kerja terbabit sebagai sudah disiapkan dengan sempurna serta memuaskan dan dilakukan ketika Badlishah berada dalam pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar pada 21 September 2015, jam 11.04 pagi.

Bagi kesalahan berkenaan, Sukri didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Manakala, bagi pertuduhan kedua pula, dia pada ketika itu memegang jawatan pembantu pegawai teknik TM Alor Setar Selatan didakwa menerima rasuah wang tunai sebanyak RM10,000 daripada Badlishah pada 21 September 2015, jam 2.50 petang.

Bagi pertuduhan berkenaan, Sukri didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sukri hanya mengangguk faham dan mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan kepadanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding terbabit, Sukri memohon kepada mahkamah agar hukuman yang rendah dapat diberikan kepadanya kerana dia mengaku sudah insaf dan menyesali atas perbuatannya hingga menjejaskan kehidupannya sekeluarga.

"Saya sudah tidak bekerja selepas diberhentikan majikan dan kini terpaksa menanggung tiga anak berusia 22, 21 serta 10 tahun.

“Dalam masa sama, saya turut menjaga bapa yang berusia 80 tahun serta adik yang mempunyai penyakit mental," katanya.

Azman kemudian menetapkan bagi kesalahan pertama, tertuduh dipenjara enam bulan dan denda RM100,000 manakala pertuduhan kedua, enam bulan penjara dan denda RM50,000.

Bagi hukuman penjara, mahkamah memerintahkan ia berjalan serentak bermula hari ini manakala tertuduh dihantar menjalani hukuman di Pusat Koreksional Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 2:04 PM