Keadaan MPV dinaiki satu keluarga yang bertembung dengan bas ekspres di kilometer 14 Jalan Lipis-Benta, Lipis, semalam. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


PENIAGA maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria dipandunya bertembung dengan bas ekspres di kilometer 14 Jalan Lipis-Benta, Lipis, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa Mok Fong Yuen, 43, maut di tempat kejadian manakala suami, 51, tiga anak perempuan dan seorang anak lelakinya berusia 13 hingga 19 tahun parah.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati MPV dipandu wanita itu dikatakan cuba memotong treler di depan kenderaannya sebelum bertembung dengan bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

“Kejadian itu menyebabkan kenderaan dinaiki keluarga terbabit remuk teruk sebelum semua mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat manakala bas ekspres berkenaan terbabas ke kiri jalan raya.

“Pemandu bas hanya mengalami kecederaan di kaki kanan sementara sembilan penumpang bas dan seorang pemandu kedua kenderaan itu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, keluarga itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Lipis dan lima mangsa yang parah kini dirawat di Hospital Kuala Lipis.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk merakam keterangan pemandu bas ekspres dan beberapa saksi kejadian.

“Keterangan keluarga itu akan diambil sebaik keadaan mengizinkan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 12:14 PM