MOHAMED Zulmazi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas.
HM Digital

Tumpat: Tidak serik selepas menjalani hukuman penjara selama tiga tahun atas kesalahan mengedar dadah, seorang lelaki sekali lagi ditahan atas kesalahan sama, kelmarin.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan bersama adik lelakinya dan seorang rakan di sebuah rumah di Jalan Belakang Stesen, Wakaf Bharu, di sini.

Sebelum ini, dia dipenjara di Thailand dan dibebaskan pada Julai tahun lalu sebelum kembali aktif mengedar dadah di sekitar Wakaf Bharu.

Dalam serbuan jam 2.15 pagi, kelmarin, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat merampas 19 botol berisi heroin, 43.75 gram syabu dan dua pil kuda bernilai RM41,082.50.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, ketika serbuan dilakukan, semua suspek yang berusia antara 26 hingga 30 tahun itu sedang tidur di rumah dua tingkat.

“Dua suspek ditahan di tingkat bawah, manakala seorang lagi di sebuah bilik di tingkat atas.

“Pemeriksaan di dalam rumah dan garaj menemui dadah jenis heroin, syabu dan pil kuda,” katanya pada sidang media di IPD Tumpat, semalam.

Menurutnya, rampasan itu adalah yang terbesar di daerah Tumpat untuk tahun ini.

“Kita harap dapat terus membanteras jenayah berkaitan dadah terutama dengan bantuan maklumat orang ramai,” katanya.

Menurutnya, semua suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah termasuk kes ugut, menggunakan dadah dan mendatangkan kecederaan parah dengan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 9:58 AM