Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


SERAMAI 20 penduduk Kampung Padang Sakar, Salor dekat Kota Bharu, tinggal dalam keadaan kebimbangan berikutan kediaman mereka yang berdekatan Sungai Kelantan diancam hakisan sejak setahun lalu.

Hakisan menyebabkan rumah penduduk semakin dekat dengan sungai dengan jarak hanya lima meter.

Suri rumah, Makalsom Che Mat, 59, berkata, hakisan itu menyebabkan rumahnya terutama di bahagian dapur retak dan senget.

Katanya, jika lima tahun dulu, Sungai Kelantan berada lebih 20 meter dari rumah tetapi sekarang hanya tinggal dalam jarak lima meter saja.

"Perkara ini membuatkan saya, anak dan dua cucu bimbang jika hakisan itu semakin teruk hingga boleh memusnahkan rumah.

"Jika hujan, kami tidak dapat tidur kerana air sungai akan naik mendadak dan menghampiri rumah akibat benteng pasir yang dibuat oleh saya bersama arwah suami awal tahun lalu juga diancam kemusnahan," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.


Penduduk kampung membuat benteng pasir pada dapur yang retak dan senget akibat hakisan Sungai Kelantan di Kampung Padang Sakar, Salor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurutnya, jika hujan lebat tanah akan menghakis dan perkara itu merisaukan keluarganya.

"Saya berharap pihak berkenaan tampil membantu membuat benteng di kawasan kediaman kami.

"Kami tiada pilihan kerana ini saja tanah yang ada peninggalan arwah ibu bapa mentua," katanya.

Sementara itu, Penghulu Kampung Mukim Padang Sakar, Mohd Kaswady Yusoff berkata, tiga rumah di kampung itu diancam hakisan teruk.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama pihak lain sudah membuat pemantauan di kawasan ini.

"Buat sementara waktu, penduduk membuat benteng sendiri dengan menggunakan pasir dan kayu tetapi ia tidak tahan lama ekoran air sungai yang menghakis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 3:00 PM