Mangsa maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


NELAYAN maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan van kilang dekat Permatang Keriang, Penaga, Kepala Batas, hari ini.

Kejadian berlaku 5.50 pagi ketika mangsa, Mohd Suffian Zulkkamal, 45, menunggang Yamaha Legenda dari Pasir Gebu menghala Permatang Keriang.

Ketika itu, sebuah van kilang yang dalam perjalanan mengambil pekerja di Penaga tidak sempat mengelak motosikal mangsa yang masuk laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa tercampak ke tepi jalan manakala motosikalnya diseret beberapa meter.

"Mangsa cedera di kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu van berusia 36 tahun hanya cedera di kaki," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 12:24 PM