Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Daerah Kubang Pasu, Sulaiman Saud (tengah) bersama imam dan wakil-wakil surau melihat peralatan komputer yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom di Masjid Al-A'aqla, Jitra. FOTO AMRAN HAMID
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


TUJUH puluh lima masjid di Kubang Pasu bakal menerima komputer dan pencetak bagi memudahkan Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK) menguruskan kewangan masjid masing-masing menerusi format baharu yang diperkenalkan oleh Pejabat Agama daerah terbabit.

Penyelaras Masjid dan Surau daerah itu, Sulaiman Saud berkata, AJK masjid yang kurang mahir menggunakan komputer sudah diberikan kursus khas oleh perunding yang dilantik bagi mempelajari sistem 'format akaun bersepadu' secara berperingkat sejak Ogos lalu.

Katanya, kebanyakan mereka tidak berdepan masalah untuk memahami format itu berikutan mereka terdiri daripada golongan yang bekerjaya dan mahir menggunakan komputer.

"Penyelarasan menggunakan format yang sama menjadikan Kubang Pasu daerah di Kedah yang pertama mengambil inisiatif seumpama ini, pihak saya memohon peruntukan komputer daripada ahli Parlimen Kubang Pasu dan Jerlun bagi memperoleh peralatan berkenaan.

"Alhamdulillah hari ini, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom menyerahkan 40 komputer kepada 40 masjid dari parlimen terbabit manakala 35 buah komputer lagi akan diserahkan oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz sedikit masa lagi,"katanya kepada pemberita di Masjid Al-A'la di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pihaknya akan memantau setiap penyata kewangan masjid selepas ini bagi memastikan penyelarasan sistem itu berjalan lancar.

Sementara itu, Yang Dipertua Pegawai Masjid Negeri Kedah Cawangan Kubang Pasu, Saidin Dogol berkata, sistem itu akan memudahkan AJK masjid mengurus dan memperkemas akaun masjid.

"Dengan penyelarasan ini, AJK akan lebih mudah untuk membentangkan penyata kewangan bulanan serta dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kariah masjid kepada anak kariah serta pegawai agama.

"Mungkin sebelum ini anak kariah sukar untuk memahami pengurusan kewangan masjid termasuk duit tabung masjid, selepas ini segalanya akan lebih tersusun dan lebih mudah difahami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 10:08 PM