Empat yang ditahan kerana lumba haram. FOTO ihsan PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


EMPAT lelaki ditahan polis selepas didapati terbabit lumba haram dan menunggang motosikal secara melulu di Jalan Padang Garam di Kuala Kedah, Alor Setar, petang semalam.

Mereka ditahan dalam Ops Samseng jalanan dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berikutan maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi itu dijalankan seorang pegawai dan tiga anggota BSPT Kota Setar serta dibantu enam anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia bermula jam 4 petang hingga 10 malam.

Beliau berkata, sekitar jam 6.30 petang polis yang melakukan pemantauan samseng jalanan ternampak empat penunggang motosikal Yamaha LC 135 sedang berlumba antara satu sama lain di tempat kejadian.

"Keempat-empat penunggang itu didapati berlumba sesama sendiri, menunggang secara bahaya dan melulu sebanyak enam pusingan sebelum dicamkan oleh anggota polis.

"Selepas enam pusingan mereka berhenti di Muzium Kota Lama, Kuala Kedah sebelum dihampiri anggota polis yang menahan mereka," katanya dihubungi di sini.

Mohd Rozi berkata, keempat-empat lelaki berusia 18 hingga 32 tahun itu dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

"Polis turut menyita keempat-empat motosikal digunakan mereka. Hasil pemeriksaan ke atas motosikal KEB 41 ditunggang seorang remaja 21 tahun didapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu.

"Nombor pendaftaran yang asal adalah KEB 1417 dan kes disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Beliau berkata, polis turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 terhadap semua penunggang yang ditahan kerana kesalahan menunggang secara melulu dan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya sepanjang operasi itu seramai 52 orang termasuk 15 penunggang motosikal

diperiksa dan 15 notis sama dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik seperti tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, insurans tamat tempoh dan tiada cermin sisi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 3:57 PM