Pertembungan dua kereta menyebabkan dua cedera.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


DUA pemandu kereta nyaris maut selepas tersepit apabila kenderaan dipandu mereka bertembung dalam kejadian di Jalan Hutan Simpan Sungai Udang, Masjid Tanah, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu membabitkan dua buah Proton Wira, sebuah Proton Iswara dan motosikal.

Kedua-dua mangsa terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat dengan kerjasama orang awam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, akibat kemalangan itu pemandu kereta Proton Wira lelakicedera di bahagian muka manakala wanita berusia 33 tahun yang memandu sebuah lagi Proton Wira mengalami kecederaan di bahagian kaki.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki berkenaan yang datang dari arah Sungai Udang menghala ke Masjid Tanah hilang kawalan.

"Setibanya di lokasi kejadian kereta dipandu lelaki itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh Proton Wira dipandu wanita.

"Susulan itu, pemandu Proton Saga dan penunggang motosikal yang datang dari arah Masjid Tanah menghala Sungai Udang tidak sempat sempat mengelak dan terlanggar bahagian belakang Proton Wira dipandu wanita berkenaan," katanya.

A Asmadi berkata, identiti pemandu lelaki itu sedang dikenal pasti selain kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, kesemua mangsa termasuk penumpang berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 3:28 PM