LELAKI disyaki penagih dadah ditangkap penduduk kampung ketika cuba memecahkan kotak Telekom Malaysia (TM) di kawasan sawah padi di Kampung Tembak A, Kuala Ketil, Baling hari ini. FOTO Ihsan pembaca
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


LELAKI disyaki penagih dadah ditangkap penduduk kampung ketika cuba memecahkan kotak Telekom Malaysia (TM) di kawasan sawah padi di Kampung Tembak A, Kuala Ketil, Baling, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, dia ditangkap oleh tiga sahabat, Muzammil Yahya, 25, Mahfuz Ahmad, 24, dan Zaffullah Sofiyan,17, yang baru selesai solat Jumaat sebelum diserahkan kepada polis.

Menurut Mahfuz, mereka bergegas ke lokasi selepas diberitahu oleh ibu Muzammil yang ternampak dua lelaki sedang mengetuk kotak TM di sawah kampung berkenaan.

"Apabila sampai, kami lihat ada dua lelaki sedang memecahkan penutup simen kotak TM dan cuba lari bila ternampak kami. Seorang daripadanya dapat ditahan di tepi jalan, manakala rakannya berjaya melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Ketua Polis Baling, Superitendan Shariffuddin Yusuf berkata, lelaki berusia 20-an cuba memecah kotak TM di kampung berkenaan ketika penduduk menunaikan solat Jumaat.

"Polis sedang mengesan rakannya yang melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 11:12 PM