Nadzim melepaskan Jelajah Malaya di pejabat PPIM hari ini. - Foto Ihsan PPIM
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) melancarkan Jelajah Malaya bagi mengumpul maklumat keselamatan pengguna jalan raya di seluruh Semenanjung.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif itu bagi membantu pihak berwajib menangani pelbagai isu keselamatan pengguna jalan raya menerusi catatan dan rakaman langsung di Facebook sepanjang jelajah berkenaan.

Katanya, sembilan penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan pelbagai latar belakang akan melakukan tinjauan sejauh 3,000 kilometer, merekodkan keadaan jalan, infrastruktur dan pelbagai elemen yang boleh memberikan manfaat kepada orang ramai.

“Ia adalah usaha mengurangkan kemalangan jalan raya dan satu perjuangan besar kerana kematian dan kemalangan boleh dianggap ancaman.

“Mereka akan membantu merekodkan apa saja yang dirasakan perlu, menulis dan membuat rakaman video termasuk secara langsung menerusi Facebook," katanya pada sidang media pada majlis pelancaran Jelajah Malaya di pejabatnya di ibu negara.

Turut hadir, Panel Penasihat Pengangkutan Jalan PPJK DAtuk Seri Ismail Ahmad dan Pengerusi PPJK Mohammad Hisham Shafie.

Sementara itu, Mohammad Hisham berkata, ini adalah inisiatif pertama menggabungkan sembilan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang rekod jelajah akan dibentangkan selepas selesai menjelajah.

“Ini juga isu kepenggunaan yang boleh kita perjuangkan. Setiap satu jam mereka akan tulis pengalaman, termasuk jumpa objek di atas jalan.

"Catatan mereka itu akan kongsi dengan pengguna sama ada melalui paltform PPIM dan media sosial. Kita nak bagi maklumat kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 8:09 PM