Antara barangan dan dadah yang dirampas daripada seorang pengedar di Felda Pasoh Satu. - Foto ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


LIMA kali dibuang daerah dan lima kali dipenjara kerana atas kesalahan dadah belum mampu menginsafkan seorang pengedar apabila dicekup bagi kesalahan sama di Felda Pasoh Satu, Jelebu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan menerusi Op Tapis, pada 7.30 malam ketika menunggu pelanggan di tepi jalan.

Katanya, pihaknya menerima maklumat dan melakukan intipan sejak minggu lalu, sebelum suspek diberkas.

“Pemeriksaan menemui menemui tiga pil Eramin 5 seberat 0.82 gram dalam kocek seluar dipakai suspek, manakala dalam beg silangnya, ditemui 41.41 gram heroin," katanya.

Kamarul Rizal berkata, pemeriksaan dalam sebuah beg sandang lelaki itu turut menemui 10 pil Eramin 5.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu manakala motosikal Yamaha 125Z, wang tunai RM250 serta bekalan dadah dirampas," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek memperoleh bekalan daripada pengedar luar daerah sebelum membungkus semula.

“Perkara mengecewakan ialah lelaki itu sudah lima kali dibuang daerah dan lima kali dipenjara di seluruh negara. Dia masih tidak insaf dengan terus memilih kehidupan sebegini," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihaknya turut memburu seorang lagi rakan suspek dikenali sebagai Taliban.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 6:40 PM