Said menunjukkan gambar lelaki mencuri di dalam Masjid Kasar yang dirakam CCTV. FOTO Attirmidzie Rahman
Attirmidzie Rahman
am@hmetro.com.my


GELAP mata melihat beg tangan disangka berisi wang, seorang lelaki tergamak melompat saf jemaah wanita yang sedang sujud untuk melarikan beg berkenaan.

Kejadian berlaku di Masjid Kasar, Pasir Mas, ketika solat Subuh, kelmarin dan insiden dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum dimuat naik di Facebook.

Bendahari masjid itu, Said Kamaruzaman, 57, berkata, semua jemaah tidak menyedari kejadian sehingga selesai solat dan mereka meneliti rakaman CCTV.

“œKejadian dirakam pada 5.55 pagi dan lelaki memakai baju panas dengan hud hitam bertindak melarikan beg itu tidak sampai lima saat.

“Beg kepunyaan seorang jemaah wanita berusia 60-an dan berisi duit RM60 dan telefon bimbit,”  katanya ketika ditemui di masjid terbabit, hari ini.

Said berkata, sebelum kejadian, mereka ada melihat lelaki itu yang tidak dikenali kariah menunggu untuk solat Subuh di ruang solat lelaki.

“Dia tidak pernah dilihat di kawasan ini dan sebelum kejadian, dia juga sibuk bersiap-siap untuk menunaikan solat Subuh seperti jemaah lain.

“Mungkin selepas rakaat pertama, dia ke bahagian wanita dan memulakan aksinya. Dia tunggu sehingga sujud, barulah melompat dalam saf dan mengambil beg itu yang diletakkan di hadapan saf,” katanya yang memberitahu rakaman CCTV itu dimuat naik Siak masjid, Murad Jaafar untuk peringatan dan mahu jemaah lebih berhati-hati.

Sebelum ini, kejadian curi di masjid itu membabitkan kehilangan motosikal dan kereta yang diletakkan di pekarangan masjid.

Katanya, walaupun hasil lelaki itu tidaklah sebesar mana tetapi kesalahannya sangat jelas kerana mencuri di rumah ibadah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas Superintendan Ismail Jusoh ketika dihubungi memaklumkan tiada laporan polis diterima susulan kejadian terbabit.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya memantau perkara itu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 11:12 AM