PEGAWAI masjid yang hadir pada Majlis Perasmian Program ISLAH LZS, semalam.
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


Shah Alam: “Program ini sangat bermanfaat. Di kariah saya asnaf yang dibantu kini bukan saja dilantik imam tiga, malah menjadi usahawan contoh dalam perusahaan atap rumbia hasil bantuan masjid melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS),” kata Setiausaha Masjid Jamiul Muhammadiah, Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Hassan Abdullah.

Hassan berkata, Program Istiqamah Dalam Ibadah (ISLAH) yang dianjurkan LZS tahun lalu banyak membantu golongan sasar iaitu asnaf fakir dan miskin di kawasan itu.

Hassan yang juga pengerusi program masjid berkata, masjid berkenaan menerima sumbangan RM10,000 dalam program itu dan pihaknya menjalankan pelbagai aktiviti untuk 222 asnaf.

“Kami menjalankan empat aktiviti utama iaitu tahsin solat, tahsin qiraat, kursus pengurusan jenazah serta kursus keluarga saadah.

“Selain itu kami juga menganjurkan program motivasi, menyantuni asnaf sakit, terlantar serta pelbagai lagi,” katanya pada Majlis Perasmian Program Islah LZS di sini, semalam.

Perasmian disempurnakan Penolong Pengarah Unit Kariah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohammad Khair Zainal.

Hadir sama Ketua Jabatan Pembangunan Insan dan Ekonomi LZS Mohamad Hafiz Salimun.

Hassan berkata, asnaf yang dibantu sehingga dilantik menjadi imam itu antara kejayaan program berkenaan.

“Sebelum ini hidup keluarga imam ini susah namun selepas menerima sumbangan beliau berubah dan kini menjadi usahawan contoh,” katanya.

Sementara itu Mohamad Hafiz berkata, program itu kali kedua sejak diperkenalkan tahun lalu.

Beliau berkata, dalam program perintis hanya 15 masjid terpilih mengikuti ISLAH membabitkan sumbangan zakat RM150,000 dan kejayaan program itu mendorong LZS menambah 35 masjid lagi menjadikan jumlah keseluruhan 50 masjid tahun ini.

“Untuk program kali kedua ini LZS menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM525,000 kepada semua masjid ini untuk pelbagai aktiviti termasuk tahsin solat, tahsin qiraat, kursus pengurusan jenazah serta kursus keluarga saadah.

“Masjid ini antara yang mempunyai ramai asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS,” katanya.

Menurutnya, pada setiap program, pihaknya memantau perjalanan aktiviti itu, malah masjid perlu menghantar laporan kepada LZS.

Beliau berkata, pelaksanaan program perintis itu memberi kesan positif apabila ramai golongan sasaran semakin dekat dengan masjid.

“Melalui program ini, kami bukan saja mendekatkan mereka dengan masjid tetapi meningkatkan keyakinan golongan ini untuk bermasyarakat.

“Malah ada antara mereka memberi khidmat kembali kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:41 AM