NOGEH menyentuh skrin sebagai simbolik melancarkan aplikasi di Fiesta Nanas 60.
HM Digital

Pontian: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) melancarkan aplikasi e-Pineapple yang berperanan sebagai pusat maklumat dan pangkalan data berkaitan industri nanas negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Nogeh Gumbek berkata, ia adalah pangkalan data yang memiliki ciri-ciri keselamatan yang baik, mudah diakses dan mesra pengguna.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan mengandungi sembilan modul iaitu profil industri nanas, bantuan dan insentif dan pengurusan bantuan MD2.

Ada juga modul latihan, asas tani, inspektorat, pengurusan ladang, pengurusan bekalan input dan pengurusan kenderaan yang dijangka membawa perubahan dalam transformasi digital kepada LPNM.

“Ia berikutan bukan saja membantu kakitangan LPNM, malah petani dalam industri ini di seluruh negara. Ia selaras dengan perubahan teknologi sama ada mekanisasi pertanian atau teknologi digital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:28 AM