Operasi memotong sambungan bekalan air secara haram dijalankan SPAN dengan kerjasama Air Selangor. FOTO Mohd Hasbi Sidek.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu tapak pembinaan yang disyaki melakukan sambungan bekalan air secara haram di Jalan Kolam Air Lama, dekat Ampang, 12.30 tengah hari, hari ini.

Difahamkan, tapak projek berkenaan dibuka sejak setahun lalu dan ia menyebabkan kehilangan air tidak berhasil (NRW) berjumlah RM348,875.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN Mohd Fazil Ismail berkata, operasi dibuat susulan aduan penduduk sekitar mengenai tekanan air rendah di kediaman mereka.

“Operasi hari ini mendapat kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Kami mengesan dua sambungan haram di tapak projek berkenaan.

“Sambungan paip haram itu menyalurkan bekalan air ke tapak pembinaan bagi mencuci tayar lori yang keluar daripada tapak projek selain untuk kegunaan harian pekerja,” katanya ditemui.

Beliau berkata, SPAN akan mendakwa pihak berkaitan mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Air Selangor Siti Zubaidah Zakaria berkata, anggaran jumlah kerugian adalah RM348,875 atau bersamaan 153,015.36 meter padu bagi jumlah kehilangan NRW.

“Notis pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan dikeluarkan oleh Air Selangor untuk tuntutan ganti kehilangan air yang digunakan secara tidak sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 5:21 PM