Keterangan gambar: Pengarah Imigresen Perlis Mohd Amir Othman (dua dari kiri) menyerahkan IBR kepada Pengarah SPRM Perlis Yaacob Angah (dua dari kanan) disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (tengah). FOTO Aizat Sharif.
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa memastikan sistem penggiliran penugasan dalam kalangan anggotanya terus dilaksanakan setiap tiga tahun perkhidmatan di sesebuah kawasan.

Ia bagi memastikan mereka terhindar daripada perkara yang boleh menjejaskan integriti mereka sebagai penjawat awam.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, sistem penggiliran ini penting bagi memastikan seseorang pegawai atau anggota tidak terlalu lama di sesebuah kawasan bertugas terutama di pintu masuk negara seperti lapangan terbang atau pelabuhan.

“Sistem penggiliran selama tiga tahun perkhidmatan di sesebuah kawasan kepada pegawai dan anggota Imigresen ini sudah diwujudkan dan akan terus dilaksanakan.

“Ia untuk memastikan pegawai atau anggota Imigresen ini tidak terlalu selesa di sesuatu tempat. Ia boleh mewujudkan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) JIM Negeri Perlis di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perlis, Kangar hari ini.

Tambahnya, sekiranya ada pegawai atau anggota Imigresen terbabit dengan gejala rasuah atau penyalahgunaan kuasa, maka pihaknya tidak akan berkompromi melindungi golongan terbabit.

“Dalam konteks ini, kita ada 14,900 pegawai dan anggota di seluruh negara dan berkemungkinan, daripada jumlah itu, mungkin ada segelintir yang terbabit dengan perlakuan berkenaan.

“Kita tidak akan sesekali melindungi anggota serta pegawai ini di mana tindakan tatatertib yang tegas termasuk buang kerja akan diambil.

“Itu sebabnya kita sering menekankan soal integriti kepada mereka agar nia dapat disemat dalam jiwa dalam mengelakkan diri daripada terbabit dengan gejala tidak bermoral ini,” katanya.

Berkaitan isu pembolosan warga Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang didedahkan Harian Metro sejak 7 Disember lalu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis dan JIM sendiri untuk menjalankan siasatan.

“Saya tidak mahu berbincang lanjut mengenai hal ini kerana ia masih di peringkat siasatan polis dan Imigresen, biarlah Ketua Pengarah JIM yang mengeluarkan kenyataan.

“Namun, jika ada anggota Imigresen yang ditahan sekalipun, ia adalah prosedur biasa yang perlu dilaksanakan berdasarkan Peraturan Pegawai Awam Kelakuan Tatatertib 1993 dan siasatan harus dijalankan berlandaskan peraturan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau turut menyaksikan upacara menandatangani IBR antara JIM Negeri Perlis dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis.

Hadir sama Pengarah SPRM Negeri Perlis Yaacob Angah dan Pengarah Imigresen Negeri Perlis Mohd Amir Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 4:15 PM