Orang ramai menunggu untuk membeli ayam pada harga RM2.99 di hadapan Pasar Borong, Wakaf Bata, Machang, hari ini. FOTO Siti Nadzirah Che Mud
Siti Nadzirah Che Mud
am@hmetro.com.my


DALAM tempoh dua jam, 1,800 ayam proses yang dijual pada harga RM2.99 habis dibeli penduduk di hadapan Pasar Borong, Wakaf Bata, Machang, hari ini.

Ayam itu dijual lebih rendah daripada harga pasaran sebagai promosi pembukaan sebuah kedai memproses ayam di kawasan berkenaan.

Pengusahanya, Nor Amyza Ismail, 28, berkata, dia membuka cawangan terbaru kedainya (Berkat Ilahi Ayam Proses) di Machang selepas tiga cawangan sedia ada di Tanah Merah.

“Kami mula buka jualan pada 8 pagi, dan tidak menyangka ramai yang beratur menunggu giliran untuk dapatkan ayam masing-masing.

“Dalam tempoh dua jam, sudah habis terjual semua stok hari ini, “ katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, ayamnya akan dijual mengikut harga biasa RM5.60, esok.

Katanya, promosi itu dilakukan, bukan hanya untuk membantu masyarakat bahkan, menggalakkan orang muda menceburi perniagaan.

Pembeli, Rubiah Harun, 53, berkata, dia tidak melepaskan peluang apabila mengetahui jualan murah ayam itu.

“Jam 9 pagi lagi saya sudah beratur dan dapat beli seekor ayam. Ini sangat membantu kurangkan kos barang dapur saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 2:03 PM
Skip this ad x