Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyempurnakan Fiesta Nanas 60 sempena Sambutan Ulang Tahun 60 Tahun LPNM. FOTO Hairul Anuar Ab Rahim.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


LEMBAGA Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) mensasarkan untuk meningkatkan pengeluaran nanas sebanyak 20 peratus pada 2018 berjumlah 437,930 metrik tan dengan nilai RM636 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya juga mensasar pertumbuhan pasaran nanas semasa iaitu 45 peratus pada tahun depan dengan nilai eksport RM200 juta.

Beliau berkata, pihaknya juga memfokuskan usaha mengimbangi penawaran dan permintaan khususnya bagi pasaran China.

“Kami mensasarkan mampu menampung permintaan 20 kontena seminggu untuk di eksport ke China.

“Buat masa ini, hanya lapan kontena saja dapat dibekalkan ke China,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Fiesta Nanas 60 sempena Sambutan Ulang Tahun 60 Tahun LPNM di Pusat Perdagangan Bandar Baru Pontian di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi LPNM Datuk Samsolbari Jamali dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi negeri Ismail Mohamad.

Menurut beliau, bagi memperkasakan sasaran berkenaan, LPNM menyediakan lima inisiatif baru dan tiga inisiatif sedia ada.

“Inisiatif ini termasuk menyediakan modal awal dan geran, memperluas kawasan penanaman nanas, melakukan kajian dan penyelidikan bagi menghasilkan benih lebih baik dan pengeluaran produk hiliran dan pelaksanaan pelbagai program kesedaran pengguna,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, sektor nanas diperuntukkan RM30 juta menerusi Bajet 2018.

Beliau berkata, ia merupakan inisiatif sumber kekayaan baru agro makanan negara.

“Ia sebagai usaha meningkatkan pengeluaran menerusi cara menambah produktiviti memandangkan kawasan baru untuk penanaman berkenaan adalah terhad.

“Kerajaan memberi fokus kepada nanas jenis MD2 dan menggalakkan pekebun dan pengusaha dalam industri ini menanam nanas MD2 secara komersial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 1:55 PM