Penerima sumbangan zakat LZS bergambar kenangan bersama tetamu kehormat selepas Majlis Perasmian Program Islah LZS hari ini. Foto Roslin Mat Tahir.
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan zakat RM525,000 kepada 50 masjid terpilih pada Program Istiqamah Dalam Ibadah (ISLAH) untuk membantu asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Ketua Jabatan Pembangunan Insan dan Ekonomi LZS Mohamad Hafiz Salimun berkata, program dimulakan tahun lalu memberi tumpuan membantu golongan asnaf fakir dan miskin dengan menjadikan masjid sebagai pusat perantara.

Menurutnya, tahun lalu, 15 masjid angkat terpilih membabitkan sumbangan zakat RM150,000 dan kejayaan program itu mendorong LZS menambah 35 masjid lagi serta sumbangan tahun ini.

“Masjid ini terdiri daripada masjid yang mempunyai kariah ramai asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS.

“Melalui program ini, setiap masjid akan melaksanakan pelbagai aktiviti membabitkan asnaf fakir dan miskin menggunakan sumbangan zakat itu,” katanya ditemui pada Majlis Perasmian Program Islah LZS di Shah Alam, hari ini.

Perasmian dilakukan Penolong Pengarah Unit Kariah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohammad Khair Zainal..

Mohamad Hafiz berkata, setiap masjid akan menjalankan pelbagai program termasuk tahsin solat, kursus pengurusan jenazah serta kursus keluarga saadah.

Menurutnya, pada setiap program, pihaknya akan memantau perjalanan program malah masjid perlu menghantar laporan kepada LZS.

Beliau berkata, pelaksanaan program perintis itu memberi kesan positif apabila ramai golongan sasaran semakin dekat dengan masjid.

“Melalui program itu, kita bukan saja dapat mendekatkan mereka dengan masjid tetapi meningkatkan keyakinan golongan ini untuk bermasyarakat.

“Malah ada antara mereka berkhidmat kembali kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Masjid As Salam, Puchong Perdana, Mohamad Norsalami Masri berkata, masjid itu menerima sumbangan RM10,000 pada program berkenaan bagi menjalankan pelbagai aktiviti tahun lalu.

“Di Puchong Perdana, ada kira-kira 600 asnaf manakala di Puchong, hampir 3,000 asnaf.

“Selain empat program utama ini, kita menjalankan pelbagai aktiviti seperti menyantuni asnaf sakit dan terlantar serta program motivasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 1:12 PM