Muhammad Muzakkir meninggal dunia selepas melanggar lori simen yang berhenti di tepi jalan, hari ini. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my


"Saya tak sangka, pertemuan pada hari akhir di kolej sebelum cuti adalah hari terakhir saya berjumpa Muhammad Muzakkir dan saya masih teringat gurau sendanya ketika itu," kata Syahidi Amar Mohd Sharif,18.

Syahidi Amar adalah rakan kepada Muhammad Muzakkir Noradnan,19, yang maut dalam kemalangan di Jalan Behrang Ulu-Tanjung Malim dekat Behrang hadapan sebuah kilang membuat jambatan konkrit pada 1.40 tengah hari, hari ini.

Muhammad Muzakkir adalah pelajar semester lima, Kolej Vokasional Slim River berasal dari Kampung Pasir, Slim Village maut di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggang melanggar belakang sebuah lori simen di tepi jalan itu.

Syahidi berkata, arwah seorang yang ceria dan suka mengusik amat disenangi oleh rakan yang lain semasa di kolej serta tidak sabar menghabiskan pelajarannya yang hanya tinggal setahun sahaja lagi.

"Semasa di kolej, arwah adalah rakan sekelas saya dan kami selalu belajar bersama-sama terutama ketika menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan dia tidak pernah lokek untuk membantu kami.

"Arwah tidak menunjukkan apa-apa perubahan semasa hari akhir di kolej dan pemergiannya amat dirasai oleh kami semua," katanya ketika ditemui bersama rakan mangsa di Hospital Slim River, hari ini.

Kira-kira 30 pelajar kolej dan ahli keluarga berkumpul di perkarangan bilik mayat sebelum mangsa dibawa pulang untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Lintah Piong kira-kira jam 6 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian itu dipercayai ketika seorang pemandu lori ,33,mahu meneruskan perjalanan selepas berhenti sebentar untuk memeriksa kenderaan itu dipercayai rosak.

Katanya, ketika mahu menggerakkan lori tiba-tiba dia terdengar dentuman yang kuat dari arah belakang lori menyebabkan dia turun untuk memeriksa keadaan sekeliling kenderaannya.

"Pemandu lori berkenaan melihat motosikal jenis Honda Wave terperosok di bawah lori bersama mangsa dan akibat rempuhan itu mangsa maut ditempat kejadian.

"Mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 10:31 PM