Riduan sudah menjalani pembedahan mengeluarkan pelurudari lengan kirinya. FOTO ihsan PDRM
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


LELAKI warga Indonesia berusia 37 tahun cedera terkena tembakan yang dilepaskan pemburu babi hutan di Kampung Parit Pulai, Parit Sulong Batu Pahat Johor 7.45 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa dikenali sebagai Riduan sebelum itu berada di belakang rumah dekat kebun kelapa sawit untuk mencari kucingnya yang hilang sebelum tiba-tiba terdengar letupan seperti mercun disusuli rasa sakit di lengan kirinya.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kira-kira 7.30 malam hari kejadian seorang daripada jiran mangsa melihat lelaki dianggarkan berusia awal 20 an dan awal 40 an ke bahagian kawasan belakang rumah tempat tinggal mangsa menaiki Proton Exora berwarna perak bertujuan menembak babi hutan.

“Bapa saudara mangsa kemudian membawa mangsa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan mangsa sudah menjalani pembedahan kecil mengeluarkan sebutir peluru peluru kira-kira 4 petang tadi,”€ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau meminta pihak yang terbabit tampil membantu siasatan polis mengikut Seksyen 37 Akta Senjatapi 1960.

“Polis memberi amaran kepada mana-mana pemilik lesen senjata api supaya tidak cuai melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian kepada orang ramai atau lesen mereka ditarik serta merta tanpa kompromi”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 8:31 PM