Kupusamy dituduh membunuh Letchumi dalam ladang kelapa sawit di Mambang Diawan pada 30 November lalu. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kampar hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita dalam ladang kelapa sawit di Mambang Diawan, Kampar, November lalu.

R Kupusamy, 54, yang bekerja sambilan sebagai pemotong besi dituduh membunuh S Letchumi, 28, antara 8.30 malam hingga 12 tengah malam 30 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Oon Kork Chern di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam dan tertuduh tidak dibenarkan jamin.

Pihak pendakwaan meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia, laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan bedah siasat bagi membolehkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh mengikut Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah.

Nur Faizah menetapkan 30 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 1 Disember lalu, mayat seorang wanita ditemui dalam sebuah ladang kelapa sawit di Mambang Diawan, Kampar.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon dilaporkan berkata, mayat ditemui seorang lelaki berusia 60-an yang mencari cendawan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan di kepala akibat trauma tumpul dan siasatan awal mendapati kejadian bermotifkan dendam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 10:47 AM