Anggota polis menyiasat kedai emas yang disamun dua lelaki petang tadi. FOTO Omar Osman
Omar Osman
am@hmetro.com.my


DUA perompak bersenjatakan pistol melarikan lapan dulang emas bernilai RM600,000 dalam rompakan di Kedai Emas Kat Seng, Jalan Dewa, Sungai Petani jam 1.45 tengah hari, hari ini.

Difahamkan kejadian berlaku ketika tiada pelanggan di kedai itu yang dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) dengan kedua-dua penjenayah yang memakai topi keledar bercermin gelap mengambil masa empat hingga lima minit melakukan rompakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati dua suspek menaiki motosikal dan berhenti di hadapan kedai sebelum meluru ke dalam premis dengan seorang daripadanya mengacukan pistol kepada pekerja.

Katanya, ketika kejadian pemilik kedai emas dan lima pekerja berada di dalam premis.

"Seorang daripada lelaki itu mengacukan pistol kepada seorang pekerja dan mengarahkannya mengambil dulang berisi emas di dalam cermin pameran dan mengisinya ke dalam beg yang disediakan.

"Pekerja terbabit hanya mengikut arahan suspek kerana ketakutan dan mengambil lapan dulang berisi emas dan mengisinya ke dalam beg," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, rakan lelaki itu kemudian mengambil beg berisi barang kemas itu sebelum mereka melarikan diri menaiki motosikal dipakir di hadapan kedai emas.

"Suspek melarikan diri ke arah Jalan Petri dan terus menghilangkan diri. Jumlah sebenar kerugian bernilai RM600,000 dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

"Kita turut meneliti CCTV di dalam kedai bagi mengenal pasti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 /397 Kanun Keseksaan," katanya.

Kejadian rompakan kedai emas di Jalan Dewan, Sungai Petani ini adalah yang kedua berlaku dalam tempoh kurang dua bulan.

Pada 21 Oktober lalu, dua lelaki bersenjata pistol merompak kedai emas berhadapan Kedai Emas Kat Seng dan melarikan barang kemas bernilai RM400,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 10:40 PM