Mercedes Benz terbakar dalam kemalangan di Kampung Melayu Gohong, Langkap, Teluk Intan, hari ini. FOTO ihsan bomba
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


LELAKI rentung selepas Mercedes Benz dipandunya terbabit kemalangan di Kampung Melayu Gohong, Langkap, Teluk Intan, hari ini.

Dalam kemalangan 3.30 petang itu, Lee Kian Tui, 55, ditemui rentung selepas kenderaannya bertembung dengan Mitsubishi Triton.

Pemandu Mitsubishi Triton berusia 29 tahun turut cedera dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada 3.40 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Teluk Intan menghala ke Langkap manakala pemandu pacuan empat roda dalam perjalanan dari Langkap menghala ke Teluk Intan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dan kenderaan pacuan empat roda itu bertembung di lokasi berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, Mercedes Benz terbakar dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Marzukhi berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota bomba menggunakan sumber air dari tangki jentera untuk memadam kebakaran.

“Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang rentung dan menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 7:35 PM