Samsolbari (lima dari kiri) bersama kakitangan LPNM mempromosikan Fiesta Nanas 60. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


SEMPENA sambutan ulang tahun ke-60, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bakal menganjurkan pelbagai aktiviti menerusi Fiesta Nanas 60 mulai 14 hingga 17 Disember ini.

Pengerusi LPNM Datuk Samsolbari Jamali berkata, program berkenaan akan diadakan di Pusat Perdagangan Bandar Baru Pontian.

Beliau berkata, ia juga adalah manifestasi meraikan kejayaan LPNM bersama pekebun nanas, pengusaha, pengilang, usahawan serta masyarakat yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan industri nanas.

Menurutnya, program menerima kerjasama daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kerajaan Johor, Pejabat Daerah Pontian, Majlis Daerah Pontian serta jabatan atau agensi di dalam daerah Pontian.

"Fiesta Nanas 60 adalah kemuncak kepada sambutan 60 tahun LPNM yang ditubuhkan pada 1957.

"Ia bakal disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik pada 14 Disember," katanya pada sidang media sempena penganjuran Fiesta Nanas 60 di Wisma NANAS di Jalan Padi Mahsuri di Bandar Baru Uda, hari ini.

Samsolbari berkata, pihaknya mensasarkan 30,000 pengunjung hadir ke fiesta berkenaan.

Beliau berkata, fiesta berkenaan juga menawarkan minuman dan nanas percuma untuk dimakan, pameran dan jualan kira-kira 20 jenis produk nanas, pameran nanas dan demonstrasi masakan berasaskan nanas.

Menurutnya, turut diadakan pameran dekorasi nanas, jualan nanas, pertandingan memancing, fun ride, forum perdana, pertandingan mewarna kanak-kanak selain cabutan bertuah dan pertandingan tertentu yang menawarkan 300 hadiah menarik.

"Pengunjung juga dihiburkan oleh artis seperti Datuk Ramli Sarip, Farahdhiya dan Yabang Khalifa yang bakal membuat persembahan pada malam Rhythm Of Pineapple pada 16 Disember.

"Fiesta berkenaan juga bakal menyaksikan perasmian Sistem E-Pineapple pada 14 Disember selain Perasmian Seminar Teknologi dan Inovasi Nanas pada hari sama selain perasmian Ngences Perisa Nanas pada 15 Disember serta Majlis Perasmian Mobile Food Kiosk pada 16 Disember," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 4:54 PM